“Oii budak, turun! turun cepat budak maling!” Wak Bun berteriak di bawah pohon rambutan kuning yang terdapat di dusun kecil miliknya. Mengengkang kedua-dua belah kaki Wak Bun apabila dia menyeimbangkan badan sambil tangannya mengacah-acah tongkat kayu yang ada di tangannya.
“Wuuekk, Aiman tak nak turun,” Aiman menyakat Wak Bun. Ranting-ranting pokok rambutan tersebut digegar-gegar Aiman menyebabkan beberapa biji buah rambutan jatuh berguguran menimpa kepala Wak Bun. Terketar-ketar orang tua itu mengelak.
“Bertuah punya budak. Dah la kau curi rambutan aku, kau kenakan aku lagi ye,” Wak Bun mengetap-ngetap giginya yang hanya tinggal beberapa batang sahaja itu tanda geram akan kelakuan Aiman yang tidak mahu turun dari pohon rambutannya.
“Ala Wak ni kedekut tahi hidung masin la” sindir Aiman. Kenakalan Aiman pada usianya yang sepuluh tahun ini semakin menjadi-jadi. Aiman yang gemar berbaju kuning menggemari rambutan kuning milik Wak Bun yang sangat manis itu. Sebelum ini, sudah kerap dia ditangkap Wak Bun. Sudah berbuih-buih mulut ibunya memesan agar tidak menceroboh dusun Wak Bun namun Aiman tetap berdegil. Hari ini kena tangkap, esok datang lagi. Dan setiap kali Aiman datang ke kebun Wak Bun dia akan berbaju kuning. Kuning adalah warna kegemarannya dan sebab itulah Aiman selalu mencuri buah rambutan di pohon yang satu itu dan bukannya di pohon rambutan yang di sebelah sana yang berwarna merah itu. Aiman tidak pernah serik.
Kali ini Wak Bun bertekad. Kepalanya menoleh kiri dan kanan mencari sesuatu.
“Baik kau turun cepat. Kalau tak, aku baling dengan kayu ni,” Ugut Wak Bun sebaik dia memungut seketul kayu reput. Aiman bertindak tangkas. Dia memanjat ke dahan yang lebih tinggi. Bersedia kalau-kalau kayu reput itu dibaling ke arahnya. Melihatkan tindakan Aiman yang masih tidak mahu turun dari pokok rambutannya, Wak Bun tidak teragak-agak lagi dengan keputusannya. Ugutan tadi akan dilaksanakan. Belum sempat Wak Bun melontar kayu reput itu, tiba-tiba Wak Bun jatuh terduduk sambil memegang dadanya sebelah kiri. Kayu reput itu serta-merta terlepas dari tangannya. Aiman yang memandang dari atas pokok tertanya-tanya akan perlakuan Wak Bun yang secara tiba-tiba itu.
“Wak, oo wak!” Aiman cuba memanggil. Wak Bun mengerang kesakitan. Tanpa berfikir panjang Aiman turun dari pohon rambutan milik Wak Bun. Dari satu dahan ke satu dahan dia memijak untuk turun dengan hati yang was-was dan sedikit curiga sambil tangannya yang kecil itu sempat lagi memetik dua, tiga biji rambutan. Buat senjata kalau-kalau dia diserang secara mengejut oleh Wak Bun yang kedekut dan perengus apabila dia turun nanti.
“T…t…tolong…Uu..ubat..ubat kat atas TV. Tolong aku budak,” Pinta Wak Bun sejurus Aiman melompat turun dari pokok. Tanpa banya soal Aiman terus berlari sekuat hatinya menuju ke rumah Wak Bun. Arahan orang tua itu diturutinya. Tercungap-cungap Aiman berlari membawa ubat dan mendapatkan Wak Bun yang sedang berpeluh-peluh menahan pedih di dada. Wak Bun duduk bersandar pada batang pohon rambutan yang rendang itu setelah menelan beberapa biji ubat lemah jantungnya.
“Wak tak apa-apa?”Soal Aiman. Aiman duduk menghadap Wak Bun. Muka Wak Bun direnung dengan matanya yang redup itu.
“Dah, kau pergi balik. Kau maling jangan datang curi buah kat dusun aku lagi. sebab kau aku jadi macam ni” lain yang ditanya lain yang dijawab Wak Bun. Rupanya marah Wak Bun belum hilang.
“Wak ni, sakit-sakit macam ni pun nak kedekut lagi,” perli Aiman. Wak Bun membeliakkan biji matanya menyebabkan Aiman sedikit kaget dan mencebikkan bibirnya.
“Aiman bukannya makan semua rambutan wak. Ala Aiman makan sikit je,” Wak Bun mengurut dadanya perlaha-lahan. Kesian pula Aiman melihat Wak Bun lantas dia memikirkan untuk menghantar Wak Bun pulang ke rumahnya yang terletak bersebelahan dengan dusunnya itu.
“Mari Aiman hantar wak balik,” tanpa banyak kerenah Wak Bun bangun sambil berpaut pada tangan kanan Aiman. Mereka berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah Wak Bun. Aiman menghantar Wak Bun sampai ke dalam bilik tidur orang tua tersebut.
“Tutup pintu bila keluar nanti.” Suruh Wak Bun. Aiman mencebikkan bibirnya. Menyampah dengan sikap Wak Bun yang tidak mahu berterima kasih. Wak Bun baring di katilnya. Kemudian Aiman perlahan-lahan keluar dari rumah Wak Bun.
* * *
Keesokan harinya, Aiman ke dusun Wak Bun lagi. Tetapi kali ini, Aiman singgah ke rumah Wak Bun terlebih dahulu sebelum dia meneruskan hajatnya untuk memanjat pohon rambutan. Dan yang pastinya Aiman berbaju kuning lagi, tetapi kali ini baju kuningnya ada tertulis “Saya Sayang Mak Saya”. Aiman begitu bangga memakai baju tersebut yang dihadiahkan oleh bapanya.
“Assalamualaikum, wak oo wak!” Aiman berteriak memberi salam.
“Hei budak maling, kan aku dah bilang jangan datang lagi. kau ni betul-betul degil ye? Sengaja mahu bikin hatiku sakit.” Sergah Wak Bun dengan telor jawanya.
“Ala wak ni, relaksla. Aiman datang nak melawat wak. Ni ha Aiman ada bawakkan makanan untuk wak. Aiman yang tolong mak masak tadi tau. Jomla wak kita makan sama-sama. Sedap ni.” Aiman tersenyum sambil menunjuk mangkut tingkat keluli di tangan kanannya. Tanpa disuruh, Aiman menghidangkan makanan tersebut untuk mereka berdua.
“Errkk Alhamdulillah” Wak Bun sendawa sambil bersandar di dinding rumahnya. Aiman yang sedari tadi telah menghabiskan makanannya memerhatikan keadaan sekeliling rumah Wak Bun.
“Wak oo wak,” perlahan Aiman memanggil Wak Bun.
“Wak tak takut ke tinggal seorang diri kat dalam rumah ni. Wak tinggal seorang, tapi rumah wak besar. Aiman tinggal ramai kat rumah, tapi rumah Aiman kecil je.” Cerita Aiman tanpa dipinta. Rumah Aiman terletak di hujung jalan sana. Selang tiga buah rumah dari rumah Wak Bun. Ayah Aiman cuma menorah getah, dan ibunya cuma suri rumah. Wak Bun menggulung tembakau ke dalam rokok daunnya kemudian Wak Bun batuk-batuk kecil.
“Selalunya kan wak, rumah besar macam ni mesti ada hantu kan?” tersedak Wak Bun dek kata-kata Aiman.
“Mulut tu jaga sikit budak. Aku jolong dengan tongkat ni baru kau tau” Aiman tidak mempedulikan kata-kata Wak Bun malah dia bangun pula. Berjalan mengelilingi ruang tamu Wak Bun. Aiman leka mengamati gambar-gambar lama yang tergantung di dinding. Kebanyakannya gambar kenangan Wak Bun bersama arwah isterinya. Pandangan Aiman beralih pula ke arah gambar yang terletak di atas almari hias Wak Bun. Aiman mengangkat salah satu daripadanya. Perlakuan Aiman dapat dilihat oleh Wak Bun.
“Letak balik! Jangan usik barang-barang aku.”Jerkah Wak Bun.
“Sudah, sudah…pergi balik. Bawak bekas kosong kau tu sekali. Lepas ni kau jangan datang lagi. Pergi balik!”. Bingkai gambar di tangan Aiman dirampasnya. Aiman meluat melihat perlakuan Wak Bun. Bukannya dia hendak memecahkan bingkai gambar itu. Dia cuma hendak melihat dari dekat sahaja. Tidak pernah dilihatnya lelaki di dalam gambar itu.
“Tu gambar anak wak eh?” Tanya Aiman.
“Aku kata pergi balik!” Wak Bun berdalih. Bahu Aiman ditolak-tolaknya. Memaksa budak itu keluar dari rumahnya.
“Pergi! Pergi! Jangan datang lagi!” Jerkah Wak Bun. Aiman sedikit terkilan dilayan sebegitu rupa, namun dia enggan melawan kerana dia tidak mahu Wak Bun diserang sakit jantung seperti semalam. Aiman beredar dari rumah dengan otaknya ligat berfikir siapakah gerangan perempuan di dalam gambar di rumah Wak Bun itu. Gambar itu bermain-main dalam fikirannya.
* * *
Seperti biasa, esoknya Aiman datang lagi. dengan baju kuning yang dipakainya semalam, serta mangkuk tingkat yang sama. Yang bezanya cuma makanan di dalam mangkuk tingkat itu sahaja.
“Assalamualaikum, wak oo wak!” Aiman memberi salam namun tidak berjawab.
“Assalamualaikum wak,” Aiman memandang sekeliling rumah Wak Bun. Aiman menjengahkan kepalanya di balik daun pintu.
“Wak oo wak,” langkahnya dipanjangkan hingga ke muka pintu bilik Wak Bun apabila dia terdengar batuk-batuk kecil orang tua itu.
“Haa wak sakit ke?” Tanya Aiman yang berdiri di ambang pintu bilik tidur Wak Bun.
Batuk Wak Bun makin menjadi-jadi. Aiman masuk dan duduk di sisi Wak Bun. Direnungnya muka orang tua yang sedang baring itu. Mangkuk tingkat yang dibawa diribanya. Aiman mengurut-ngurut dada Wak Bun.
“Kau maling degil. Kan aku dah bilang sama kau jangan datang lagi,” Wak Bun bersuara lemah.
“Wak ni sakit-sakit pun nak gaduh dengan Aiman jugak ke?” jawab Aiman sambil matanya tepat memandang wajah Wak Bun.
“Aiman ada bawa makanan untuk wak ni. Aiman hidangkan makanan untuk wak ye,” Aiman keluar menuju ke dapur tanpa sempat Wak Bun melarangnya.
Sekitar lima minit kemudian Aiman datang membawa makanan dan segelas air kosong untuk Wak Bun. Aiman membantu Wak Bun bangun dan duduk di atas katil. Sebiji bantal ditegakkan oleh Aiman pada kepala katil supaya Wak Bun lebih selesa. Wak Bun membiarkan sahaja Aiman melayani dirinya. Tersentuh juga hatinya tatkala itu.
“Aiman suapkan wak ye?” Aiman merenung muka Wak Bun dengan penuh ikhlas dan Wak Bun mengizinkannya.
“Kau ni maling tak tau ke orang tengah marahkan kau?” Tanya Wak Bun setelah usai makan.
“Laa wak marahkan Aiman ke?” Tanya Aiman sambil menggaru-garu kepalanya yang dirasakan gatal.
Wak Bun tergelak kecil. Aiman mempamerkan muka kehairanan kerana pertama kali dia melihat Wak Bun ketawa. Aiman turut ketawa sambil mengetap bibirnya yang merah itu.
“Hmm wak pun dah sudah makan kan, Aiman hendak balik dulu wak,” beritahu Aiman.
“Botol-botol ubat dengan air minum Aiman dah letak dekat atas meja tu. Wak jangan gerak-gerak sangat kalau rasa pening, nanti kalau Wak jatuh susah nanti,” nasihat Aiman seolah-olah seperti dia pula yang lebih tua dari Wak Bun.
Memandangkan tiada riak balas dari Wak Bun, Aiman tidak menunggu lama lagi. dia pergi meninggalkan Wak Bun seorang diri di dalam bilik tidurnya. “Nanti…” Wak Bun tiba-tiba menahan Aiman daripada beredar dari rumahnya.
Pantas Aiman berundur ke belakang dan seraya berdiri di ambang pintu bilik Wak Bun semula. Wak Bun melambai lalu member isyarat agar Aiman duduk di bangku kecil di sebelah katilnya.
“Kau maling selalu sangat datang sini. Curi buah kat dusun aku tu. Dekat rumah kau tak ada orang ke?” soal Wak Bun setelah Aiman duduk di bengku kecil tersebut.
“Nama Aiman bukan maling Wak. Nama Aiman kan, Aiman la.” Aiman tersengih seperti kerang busuk tanpa menjawab pertanyaan Wak Bun kepadanya. Aiman langsung tidak mengetahui mengapa Wak Bun menggelarnya maling.
“Kau tu maling. Maling tu pencuri,” sindir Wak Bun sambil tersenyum mengenangkan gelagat Aiman itu.
“Setahu Aiman kan Wak, teacher kat sekolah Aiman cakap kalau pencuri tu thief. Rupanya teacher kat sekolah Aiman tu salah la eh?” Aiman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Pening Aiman memikirkan yang mana satu perkataan yang betul. Wak Bun menunjal kepala Aiman lalu ketawa terbahak-bahak. Aiman jadi bingung. Aiman tidak tahu yang perkataan maling itu berasal daripada perkataan Jawa yang bermaksud pencuri.
“Kenapa kau selalu datang curi rambutan kuning aku. Mak ayah kau tidak marah ke?” Tanya Wak Bun. Kening sebelah kirinya terangkat. Aiman memandang wajah Bun Bun yang sedang memandang sinis ke arahnya. Aiman keliru dengan perlakuan Wak Bun. Sebentar tadi tertawa, kemudian memandangnya dengan penuh sinis pula.
“Hmm mestila mak ayah Aiman marah…” perlahan sahaja suara Aiman.
“Habis tu kenapa kau curi juga?” Wak Bun terus menekan Aiman dengan soalan sinis.
“Ala wak bukannya Aiman curi. Aiman ambil saja, lepas Aiman ambil Aiman makanlah. Bukannya habis satu pokok pun Aiman makan,” Aiman mempertahankan perbuatannya yang terang-terang memang salah.
Wak Bun berhenti menyoal. Dia termenung seketika seperti mengenangkan sesuatu. Perlahan-lahan Wak Bun menarik nafasnya. Sekali lagi Aiman keliru dengan perlakuan Wak Bun. Aiman menelan air liurnya dan bersedia untuk menjawab soalan cepu gangsa dari Wak Bun.
“Buah-buah kat dusun tu untuk anak aku. Kalau kau selalu mencuri, nanti dah tak ada apa yang tinggal untuk anak aku bila dia balik nanti,” Wak Bun menuturkan kata-katanya tanpa memandang Aiman.
“Ala Wak, kan kat dusun Wak tu banyak lagi pokok lain. Manalah Aiman larat makan semua tu Wak,” beritahu Aiman.
Aiman menggosok-gosok hidungnya. Aiman sendiri pun tidak tahu mengapa dia berbuat begitu. Wak Bun terdiam dan menundukkan mukanya. Tidak dapat tidak Wak Bun menafikan kebenaran yang terkandung di dalam kata-kata Aiman itu.
“Tapi kan Wak, anak Wak tu pergi mana? Aiman tak pernah nampak pun.” Aiman memberanikan dirinya untuk bertanya setelah sekian lama perihal anak Wak Bun itu berlegar-legar di mindanya.
“Penyibuk!” Rengus Wak Bun.
Aiman mencebikkan mukanya dan merenung muka Wak Bun. Aiman sedikit terkilan dengan kata-kata Wak Bun yang dilemparkan kepadanya. Bukannya dia hendak menyibuk, tetapi dia cuma hendak tahu.
“Hmm Aiman balik dulu wak,” Aiman bingkas bangun.
“Ada aku suruh kau balik?” Wak Bun menyoal Aiman. Mukanya masih dalam riak sinis. Terkebil-kebil mata Aiman memandang Wak Bun.
“Duduk!” Arah Wak Bun. Seperti budak mamai Aiman menurut.
“Kau tanya macam-macam kat aku ni sebab nak cerita kat mak bapa kau kan? Nak cerita kat kawan-kawan kau kan? Biar satu kampung ni tahu pasal aku kan?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Wak Bun. Lagaknya tak ubah seperti seorang peguam menyoal si tertuduh di kandang salah. Badan Aiman terundur-undur ke belakang mengikut urutan soalan, namun duduknya masih kemas di bangku.
“Sama saja macam yang lain-lain. Bukan aku tidak tahu. Semua orang kampung cakap macam-macam pasal aku. Macamla mereka tahu pasal semua benda.” Wak Bun terus membebel.
Bertemu kedua-dua pangkal kening Aiman di tengah-tengah apabila dahinya berkerut ketat. Setahu Aiman memang orang kampung banyak bercerita yang tidak enak tentang Wak Bun tetapi ibu dan ayahnya tidak pula begitu. Pelbagai soalan berputar-putar di minda Aiman tetapi tidak berani pula dia menyoal Wak Bun tentang apa yang dibebelkan oleh orang tua itu. Dengan tidak semena-mena hati Aiman berdegup laju. Wak Bun berhenti membebel. Matanya tajam merenung Aiman. Menambahkan lagi kelajuan degupan jantung Aiman. Aiman menggenggam kedua-dua belah tangan untuk menahan getar di dadanya.
“Ala Wak, janganlah tengok Aiman macam ni. Nanti tak pasal-pasal Aiman pula yang sakit jantung ni,” Aiman merayu di dalam hatinya.
Lidah Aiman kelu untuk menutur sebarang kata. Wak Bun mematahkan renungan matanya pada Aiman bila tangan kanannya menyapu muka. Wak Bun menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan satu bunyi keluhan.
“Anak aku pun benci dengan aku. Kalau aku tak marah dia dulu, mesti dia tak pergi. Mesti sekarang ini dia akan ada dengan aku,” suara Wak Bun tenggelam timbul menahan sebak.
“Aikk kena marah pun nak lari ke? Aku ni hari-hari kena marah tak lari pun,” sempat Aiman berkata-kata di dalam hatinya.
Wak Bun sebenarnya mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Budiman. Sudah 15 tahun anak Wak Bun pergi meninggalkannya. Waktu itu umur anaknya baru 18 tahun. Merajuk membawa diri entah ke mana kerana tidak tahan di paksa dan di marahi Wak Bun. Gara-gara kedegilan Wak Bun yang mahu satu-satu anak lelakinya itu mengikut jejak langkahnya yang pernah menjadi tentera suatu ketika dahulu. Akan tetapi anak lelakinya yang satu itu gemar berniaga. Langkah pertama, Budiman berjinak-jinak dalam bidang perniagaan waktu itu ialah dengan menjual sendiri hasil-hasil tanaman dari dusun Wak Bun. Walau bagaimanapun, Wak Bun mempersendakan usaha anaknya itu.
Wak Bun lebih senang menjual sahaja hasil-hasil yang diperoleh daripada dusunnya itu kepada pemborong yang datang dari pekan tiap kali musim buah tiba. Baginya hasil yang diperolehi dari dusunnya itu tidak seberapa untuk dijadikan sebagai punca pendapatan. Wak Bun tidak pernah memberikan peluang untuk anak lelakinya itu membuktikan kebolehan. Sebaliknya perancangan anaknya untuk menambah keluasan dusun di samping melakukan beberapa perancangan lain yang boleh memberikan hasil yang lumayan ditolak Wak Bun bulat-bulat. Akhirnya, sehingga satu tahap anaknya itu hilang sabar apabila disabotaj oleh ayah sendiri yang langsung tidak mahu mengalah.
“Kalau aku tak sogok pemandu-pemandu lori itu supaya jangan angkut buah-buahan dari anak aku, mesti dia ada di sini dan jaga aku sekarang ini.” Sebak Wak Bun bertukar tangisan sesal.
Terlopong mulut Aiman dengan rentetan cerita yang didengarinya dari mulut Wak Bun sendiri.
“Kejamnya orang tua ini. Minta-minta mak ayah aku tak macam ini,” hati Aiman tidak dapat mengelak daripada membuat andaian yang sebegitu rupa. Aiman keliru dengan perasaanya. Geram pun ada kasihan pun ada dengan perangai Wak Bun.
“Dah…dah…tak guna kau ada dekat sini. Buat aku sedih saja.” Fikiran Wak Bun mula bercelaru. Wak Bun bertempik menghalau Aiman yang masih duduk melopong.
“Eh suka-suka dia saja orang tua ni nak halau aku. Tadi aku nak balik tak bagi. Apa bendalah,” Aiman merungut perlahan.
Aiman lantas bangun dari bangku dengan muka yang masam dan keluar dari bilik meninggalkan Wak Bun seorang diri. Kali ini pergi Aiman tidak dihalang orang tua itu.
* * *
Sudah tiga minggu Aiman tidak ke rumah Wak Bun. Ke dusun orang tua itu pun tidak. Sedikit sebanyak Wak Bun terkenangkan Aiman. Selama tiga minggu itu jugalah Wak Bun tidak dapat marah-marah. Amalan yang biasa dilakukannya untuk menghilangkan rasa sunyi. Mungkin Wak Bun sudah terbiasa sebegitu. Sifat marah-marah itu sudah sebati dalam dirinya. Tidak mungkin dapat dikikisnya sifat buruk itu dalam usia senja begini.
Sejak Aiman tidak datang mencuri lagi, Wak Bun merenung pokok rambutan sarang Aiman bertenggek. Di atas pokok itu jugalah anaknya Budiman pernah bertenggek sewaktu kecil-kecil dahulu. Tak turun-turun dari pokok selagi tidak dicari oleh arwah isterinya. Gurau senda dan gelak tawa arwah isteri dan anaknya terngiang-ngiang di telinga. Gambaran dua beranak itu bermain-main semula dalam renungan khayal Wak Bun dan membuatkan Wak Bun tergelak tanpa sedar.
Rasa bersalah pada arwah isteri dan anaknya itu datang silih berganti dan menghentak hati Wak Bun. Terfikir juga di benaknya agar dihentikan sahaja detak jantungnya yang lemah itu. Tidak mahu hidup dalam keadaan di benci oleh semua orang lagi. mungkin kerana ego Wak Bun sudah semakin pudar mengikut bilangan usia tuanya.
* * *
“Assamualaikum…” Tersentak Wak Bun.
Salam yang disampaikan oleh seseorang mengejutkan Wak Bun dari lamunannya. Perlahan Wak Bun menoleh ke belakang. Seorang lelaki yang cuma berbaju “Pagoda” tegak berdiri di hadapan. Wak Bun menggosok-gosok kedua-dua belah matanya. Berkerut-kerut dahi Wak Bun memandang seseorang di hadapannya. Jantungnya berdegup laju.
“Ayah…” Lelaki tadi melutut bersalam dan mencium tangan Wak Bun yang sedang duduk di atas sebuah pangkin usang.
Wak Bun termangu-mangu dan dirinya di awang-awangan. Serentak itu, jelas di pandangan Wak Bun tiga orang lagi sedang menyusun langkah menghampirinya. Mereka semua datang dari arah hadapan terataknya. Salah seorang daripada mereka sangat dikenalinya. Aiman. Wak Bun terketar-tekar. Direnungnya lelaki yang betul-betul berdiri di hadapannya.
“Ayah…” Wak Bun masih kabur.
Wak Bun berpaling ke belakang dan berjalan setapak dua seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Kemudian dia berhenti. Otaknya ligat berfikir sesuatu. Nafasnya naik turun. Dan jantungnya makin berdegup kencang.
“Ayah…” Sekali lagi lelaki itu bersuara dan menyentuh lembut bahu Wak Bun.
Wak Bun memalingkan mukanya dan memandang muka lelaki itu. Wak Bun mengetap bibirnya kerana dia sudah betul-betul pasti siapakah gerangan lelaki yang berdiri di hadapannya itu.
“Budiman…” terus pecah tangisan Wak Bun. Air mata yang ditahan-tahannya mencurah-curah membasahi pipi.
Seraya itu, Budiman memeluk ayah yang amat dikasihinya itu. Menangis kedua-dua beranak itu. Wak Bun membalas pelukan anaknya dengan erat seolah-olah tidak mahu melepaskan anaknya itu pergi meninggalkan dirinya keseorangan lagi.
“Ampunkan Budiman ayah. Segala dosa Budiman, Budiman minta ampun,” tenggelam timbul suara Budiman meminta maaf dari Wak Bun.
“Ayah yang salah nak. Maafkan ayah.” Budiman mengelap air mata yang mengalir di pipi Wak Bun.
“Ke mana kau pergi selama 15 tahun ini Budiman. Ayah sangat-sangat rindukan kau nak,” Wak Bun tersedu-sedu menuturkan katanya.
“Maafkan Budiman, maafkan Budiman ayah.” Berkali-kali Budiman meminta maaf dari Wak Bun.
Aiman yang dari jauh melihat gelagat Wak Bun turut menangis kerana dia turut berada di situasi yang sangat genting ini. Aiman mengesat air matanya sambil mencebikkan bibirnya apabila adiknya, Aidil yang berusia 6 tahun itu melihat dirinya menangis. Aiman lihat ibunya turut menangis. Aiman memeluk ibunya.
“Itu isteri dan anak-anak Budiman ayah.” Budiman menudingkan jarinya ke arah Aiman.
Ibu Aiman, Zaiton menghampiri Wak Bun dan bersalam dengannya. Dan diikuti dengan Aidil. Wak Bun mengusap-usap kepala Aidil. Aiman masih berdiri di tempatnya. Sedikit pun tidak berganjak. Aiman menundukkan mukanya. Dengan tidak semena-mena Aiman teringat yang dia mengambil senyap-senyap gambar yang terdapat di almari hias Wak Bun itu lalu ditunjukkan kepada ibunya.
Ibunya, Zaiton sangat terkejut melihat gambar yang dibawa pulang oleh Aiman. Gambar tersebut adalah gambar suaminya semasa muda. Dan sememangnya Aiman langsung tidak dapat mengecam lelaki di dalam gambar itu adalah ayahnya. Konon-kononnya, Aiman mahu membantu Wak Bun untuk mencari anak lelakinya yang lari dari rumah itu dan Aiman langsung tidak menjangkakan yang anak Wak Bun itu adalah bapanya sendiri.
Zaiton lantas berlari ke pondok telefon berhampiran dan menelofon Budiman yang bekerja di Kuala Lumpur untuk meminta kepastian. Baharulah Zaiton tahu mengapa suaminya begitu beriya mahu berpindah di Johor Bahru. Zaiton sendiri selama berkahwin dengan Budiman langsung tidak mengetahui hal berkenaan dengan keluarga sebelah suaminya itu dan selama setahun berpindah di kampung ini juga dia langsung tidak menjangkakan bahawa Wak Bun itu adalah bapa mentuanya sendiri kerana Budiman cukup berahsia dengan dirinya.
Budiman punya alasannya yang tersendiri. Dia tahu Wak Bun seorang yang tidak bercampur gaul dengan penduduk kampung lain dan oleh itu apabila dia berpindah ke kampung halamannya sendiri, Wak Bun sedikit pun tidak akan menyedarinya kerana Wak Bun leka dengan dunianya sendiri. Budiman hanya memerhatikan ayahnya dari jauh. Orang kampung tidak tahu akan hal yang sebenar. Mereka menjangkakan Wak Bun tidak menerima kepulangan Budiman sebab itulah Budiman tidak tinggal sebumbung dengannya. Sebaliknya, Wak Bun sendiri tidak mengetahui selama setahun itu anaknya telah pulang ke kampung halamannya.
Selama setahun Budiman menunggu masa yang sesuai untuk bertemu dan memohon maaf dari ayahnya. Budiman cuba mengumpul kekuatan di dalam dirinya kerana dia menjangkakan ayahnya tidak akan menerimanya kembali tetapi setelah mendengar cerita dari Aiman baharulah dia tahu bahawa ayahnya itu begitu merindui dirinya sepertimana dia merindu ayahnya. Hanya kerana ego, kedua-dua lelaki ini terpaksa menerima sahaja takdir yang menimpa diri mereka. Dan selama setahun mereka berpindah di kampung ini jugalah, anaknya Aiman makin rapat dengan datuknya sendiri.
“Aiman…” panggil Wak Bun.
Aiman serba-salah. Redup matanya memandang Wak Bun. Wak Bun bertongkat mengatur langkah menuju ke arah Aiman. Wan Bun berdiri betul-betul di hadapan Aiman. Air mata bergenang di kelopak matanya. Wak Bun sedikit pun tidak menjangkakan bahawa Aiman yang selalu digelarnya maling itu adalah dari darah dagingnya sendiri.
“Wak…” Aiman mengetap bibirnya dan dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Hendak bersalaman dan berpelukan dengan Wak Bun terasa kekok pula.
“Aiman, cucu atuk…” Wak Bun mendepakan kedua-dua tangannya agar Aiman dapat memeluknya.
Seraya itu Aiman terus memeluk Wak Bun kerana perkataan cucu yang disebut Wak Bun itu begitu menyentuh hatinya. Wak Bun menggosok-gosok kepala Aiman. Budiman, Zaiton dan Aidil memerhatikan dari jauh.
“Wak tak marah Aiman lagi?” soal Aiman setelah Wak Bun meleraikan pelukan.
“Kau maling cucu atuk. Kau tak dapat curi rambutan kau curi gambar pula ye?” Wak Bun tertawa mengenangkan sikap Aiman yang nakal itu.
Aiman menggaru-garukan kepalanya dan tersengih memandang Wak Bun kemudian memandang ayahnya pula.
“Aiman minta maaf wak, nanti Aiman pulangkan balik gam…,” ayat Aiman terhenti di situ apabila dirinya dipeluk kembali oleh Wak Bun.
“Maafkan atuk…,” Wak Bun terdiam sekejap. Cuba menyusutkan rasa hiba di hatinya.
“Maafkan atuk, Aiman. Kamu memang budak yang baik. Atuk yang jahat. Selalu marah-marah kamu. Maafkan atuk. Mulai dari hari ini, Aiman kena panggil atuk. Aiman tak boleh panggil Wak lagi. sebab atuk adalah atuk Aiman sendiri.” Tangisan Wak Bun makin jelas di telinga Aiman.
“Budak baik? Aku budak baik? Hehehe tau tak apa,” gembira hati Aiman. Tambah pula Wak Bun tidak lagi beraku engkau dengannya lagi.
“Dahlah atuk, janganlah menangis lagi. kalau Aiman dah panggil wak atuk, mulai hari ini jugak atuk kena panggil Aiman, Aiman la kan? Atuk tak boleh panggil Aiman maling lagi,” Aiman tersengih dan menampakkan giginya yang putih itu.
Seloroh Aiman menyebabkan semua yang berada di situ ketawa. Aiman turut ketawa. Budiman menghampiri Wak Bun dan Aiman. Ketiga-tiga mereka berpelukan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Aidil yang melihat dari jauh berlari dan lantas memeluk mereka.
“Atuk, Aiman nak pergi curi buah rambutan kuning ye?” Muka Wak Bun dipandangnya. Wak Bun tergelak kecil.
“Pokok rambutan yang satu itu telah menjadi milik kamu. Atuk hadiahkan.” Beritahu Wak Bun.
“Eh betul ke ni atuk?” Aiman inginkan kepastian.
Budiman dan Zaiton hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat Aiman. Wak Bun mengangguk.
“Hadiah untuk Aidil tak ada ke atuk?” Aidil yang diam sedari tadi bersuara.
Aidil merasakan tidak adil sekiranya dia juga tidak mendapat hadiah dari Wak Bun seperti yang diperoleh abangnya. Aidil serius dengan kata-katanya. Dan kali ini Wak Bun tergelak besar.
“Ha semua yang ada di dusun itu semuanya untuk Aidil,” beritahu Wak Bun.
Aidil melompat kegembiraan dan Aiman bertepuk tangan. Tiada apa yang merugikan apabila Wak Bun menghadiahkan pokok-pokok rambutan kepada cucu-cucunya sendiri. Senyuman tidak lekang dari bibir Wak Bun dan dia memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana telah mempertemukan kembali dia dengan anak dan cucu-cucu terutamanya si maling kuning yang sangat licik!.
Khamis, 29 April 2010
cerpen "Si Maling Kuning"~salah satu cerpen utk asgment prosa melayu ky~di upload utk tatapan semua..
Jumaat, 12 Mac 2010
ampuni dosaku....
akhir2 ni ky rsa xsedap hati sgt..mcm2 yg ky pk..kdg2 ky rsa ky mcm dh nk mati..ky sllu mimpi pelik2 skang ni..kdg2 ky pk btl ke apa yg ky bt slama ni..ky cuba utk x mngulangi kesilapan yg sma..tpi ky lgsung xterdaya..adakah sume ni dugaan dari Allah s.w.t utk ky..ky xmampu utk mbendung sikap ky..ky sedar ky tlalu mngikutkan kata hati..tapi salahkah??ky mohon petunjuk dari Allah s.w.t moga Allah s.w.t berikan kekuatan utk ky berubah dan menjadi seorang umat Islam yg taat akan perintahnya..
berikan aku kekuatan ya Allah..ampuni dosa-dosaku.......
Ahad, 7 Mac 2010
CERPEN DOSA SEMALAM...
ky tgh siapkan cerpen ky..
~~mengisahkan seorg isteri yg curang terhadap suaminya~~
hmm ky dh xde idea mcm mn nk tamatkan cite tu..
skit je lg nk siap dh..nt ky upload..
penyamun, penyangak n yg seangkatan dengannya..
baju ky hilang..confius sgt..xtau xpa yg curik..isshh xpatut..cikgu pun jadik pencuri ke???
masyarakat majmuk..yeaahh one malaysia....