CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 8 September 2009

(MITOS) Cerita Beras Terbakar Langkawi


Antara salah satu cerita sejarah Pulau Langkawi yang termasyhur ialah cerita "Beras Terbakar". Tempat yang dikatakan beras terbakar itu ialah di Kampong Raja, Mukim Padang Matsirat. Luas kawasan itu ialah kira-kira tiga puluh kaki persegi. Kedalaman tanah lebih dari tiga kaki. Apabila hujan lebat beras yang tertanam itu akan timbul.
Mengikut cerita orang tua-tua, pemerintahan Pulau Langkawi sejak 200 tahun dahulu sehingga kurun ke sembilan belas bertempat di Kampong Raja tersebut. Ini boleh dibuktikan apabila terdapat seorang daripada Pegawai Daerah, Pulau Langkawi, yang telah meninggal dunia 80 tahun dahulu telah dikuburkan di kampung ini dan kubur itu ada sampai sekarang.
Selepas beberapa bulan pembunuhan Mahsuri dengan perintah Datuk Seri Kerma Jaya, pemerintah yang memerintah Langkawi pada masa itu, pulau Langkawi telah diserang dengan hebatnya oleh orang-orang Siam.
Tempat pertempuran yang dahsyat dan di mana Datuk Seri Kerma Jaya dan panglima-panglimanya yang gagah telah terkorban ialah di Selat Berhala Balik iaitu selat jalan masuk ke Pelabuhan Kuah sekarang.
Sebelum pertempuran tersebut itu berlaku, Datuk Kerma Jaya berasa Pulau Langkawi akan tewas dan kalah, dan dengan itu, beliau memberikan arahan kepada rakyat jelata supaya menanam beras agar tidak terlepas ke tangan musuh.
Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, ketewasan Datuk Kerma Jaya yang mempertahankan Pulau Langkawi adalah kerana sumpahan daripada Mahsuri. Satu daripada bukti sumpahan itu ialah beras simpanan terbakar.
Beras terbakar itu sampai sekarang digunakan oleh sesetengah orang sebagai penawar untuk mengubati demam panas dan kepialu.
(dipetik dan diubahsuai daripada sastera rakyat negeri kedah)

0 ulasan: