Insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipercayai akan dapat dicapai melalui pendidikan bahasa dan kesusasteraan. Menyedari hal ini, pada 22 Jun 1999 Menteri Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa semua pelajar sekolah menengah aliran Sastera, Sains, Teknik, Vokasional, dan Agama diwajibkan mempelajari Kesusasteraan Melayu dan Kesusasteraan Inggeris. Bagi memastikan semua pelajar sekolah menengah rendah dan atas mempelajari kesusasteraan, maka penggunaan karya sastera diwajibkan sebagai komponen dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Komponen Sastera dalam Pendidikan Bahasa Melayu (Komsas) dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, bermula pada Mac 2000 untuk tingkatan satu dan tingkatan empat. Kemudian, pada tahun 2001 Komsas diperluas ke tingkatan dua dan tingkatan lima . Pengajaran Komsas dilaksanakan sepenuhnya daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima pada tahun 2003 dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sulung mengambil peperiksaan dengan kurikulum baru ini pada tahun 2001, manakala calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2002.
Sebelum Komsas dilaksanakan, pelajar sudah didedahkan dengan unsur atau bahan sastera dalam pendidikan bahasa. Namun, keberkesanannya dalam aspek penghayatan nilai tidak membanggakan. Hal ini demikian kerana pengajaran dan pembelajaran menjurus kepada aspek input bahasa semata-semata. Aspek nilai estetik, keindahan bahasa, dan sosio budaya yang tergarap dalam karya yang digunakan itu tidak diberikan tumpuan. Sebaliknya, melalui Komsas, aspek-aspek tersebut diberikan penekanan di samping untuk meningkatkan keupayaan pelajar berbahasa.
Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana kedua-dua aspek ini lahir daripada sosio budaya masyarakatnya. Tumpuan kepada pembelajaran bahasa semata-mata tidak memadai kerana pelajar mungkin dapat menguasai bahasa dengan baik dari aspek tatabahasanya, tetapi dalam aspek keindahan bahasa, diksi, daya intelek, daya kreatif dan seumpamanya dapat dikuasai melalui ilmu sastera. Atas dasar itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah tidak memisahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dan sastera. Hal ini harus disedari bukan sahaja oleh guru, tetapi juga oleh pelajar bagi mengikis sikap penguasaan ilmu bahasa dan sastera hanya untuk peperiksaan. Tetapi sebaliknya, penguasan ilmu bahasa dan sastera untuk membina dan meningkatkan jati diri pelajar. Hal ini jelas tergambar dalam matlamat pengajaran Komsas.
Pelajar harus menyedari matlamat pembelajaran Komsas bagi memudahkan mereka mengatur strategi pembelajaran. Belajar tanpa matlamat seumpama kita belayar di lautan yang luas tanpa hala tuju. Akhirnya akan timbul tanggapan yang negatif terhadap Komsas. Ada yang mengatakan bahawa Komsas sukar dipelajari dan Komsas membebankan. Maka wujudlah rasa kurang berminat untuk membaca teks Komsas. Tanggapan yang negatif ini dapat dihapuskan jika pelajar memahami matlamat yang digariskan tadi.
(dipetik dan diubahsuai daripada portal pendidikan utusan)
Isnin, 7 September 2009
KOMSAS
Dicatat oleh Ky Marsita di 11:54 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan